Pengeluaran telur itik meningkat, namun banyak penternak ‘gulung tikar’

TUMPAT: Pengeluaran telur itik secara komersial di negeri ini didapati meningkat tahun lalu berbanding sebelumnya, namun bilangan ladang penternakan itik penelur berkurangan sehingga 23 peratus bagi tempoh sama.

Berdasarkan statistik Jabatan Perkhidmatan Verterinar pada 2019, sebanyak 2.1 juta itik penelur diternak di 204 ladang di seluruh negara dengan pengeluaran lebih 163.3 juta biji telur atau 11,434 tan metrik setahun.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, Kelantan mewakili 38 peratus daripada pengeluaran telur itik negara.

Kata beliau, pada 2019 terdapat 78 ladang itik penelur di seluruh negeri ini dengan kapasiti 30,234 itik yang mengeluarkan hasil sebanyak 2.2 juta biji telur atau 158.7 tan metrik setahun.

“Pada 2020, bilangan ladang itik berkurangan kepada 61 di seluruh negeri tetapi pengeluaran meningkat kepada 2.5 juta biji telur atau 177 tan metrik setahun.

“Dengan keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu akibat pandemik Covid-19, kerajaan menyedari cabaran dihadapi penternak untuk terus konsisten dalam industri pengeluaran telur itik,” katanya ketika ditemui selepas melawat ladang itik penelur DDD Farm di Kampung Delima, di sini baru-baru ini.

Kata Che Abdullah, antara cabaran utama yang sedang dihadapi penternak itik adalah kenaikan harga makanan ternakan yang melambung tinggi.

“Maklum balas pemain industri dalam penternakan dan persatuan pengilang makanan ternakan mengesahkan berlakunya kenaikan harga makanan ternakan antara empat hingga lima peratus disebabkan kenaikan bahan mentah dedak seperti bijian jagung yang diimport dari luar negara,” katanya.

Kata beliau, kerajaan merangka pelan cadangan intervensi bagi mengatasi masalah itu seperti mengadakan kerjasama strategik agensi bersama pemain industri bagi meningkatkan pengeluaran jagung bijian tempatan berkualiti secara komersial dan memenuhi standard pengilang makanan ternakan.

“Selain itu kita juga berusaha mendapatkan sumber bekalan bahan mentah makanan ternakan daripada negara jiran Asia seperti Indonesia dan Thailand berbanding Brazil dan Argentina bagi mengurangkan kos logistik.

“Kita juga mempergiatkan usaha penyelidikan dan pembangunan bagi memperkenalkan bahan mentah gantian yang bersesuaian untuk menghasilkan dedak ternakan khususnya untuk makanan unggas (pedaging dan penelur),” katanya. – UTUSAN ONLINE

The post Pengeluaran telur itik meningkat, namun banyak penternak ‘gulung tikar’ appeared first on Utusan Digital.