Pemuda tulis al-Quran sebagai hadiah buat calon isteri

JAKARTA – Seorang pemuda di Indonesia ‘mencair’ hati warga net apabila klip video dia sedang menulis ayat suci al-Quran tular di media sosial, lapor Suara.com semalam.

Lelaki dikenali sebagai Awwaludin Fajri itu memberitahu, al-Quran tulisan tangannya adalah hadiah istimewa untuk mana-mana wanita yang bakal bergelar isterinya.

Kata Awwaluddin, meskipun dia belum mempunyai calon untuk dijadikan pasangan hidup, dia sudah memasang niat menghadiahkan al-Quran itu bila bertemu jodoh kelak.

“Buat siapa pun jodoh saya nanti, ini adalah hadiah paling istimewa yang akan saya berikan,” tulis Awwaludin pada video TikTok itu.

Menerusi video itu, dapat diperhatikan kekemasan tulisan Awwaludin yang saling tidak tumpah seperti cetakan mesin.

Video itu menerima banyak pujian warga net yang rata-rata meluahkan rasa bangga kerana ada anak muda yang sangat berbakat seperti Awwaludin.

“Perkara seperti ini yang perlu kita tularkan, bukan video pelajar memakai baju seragam sekolah menari TikTok,” komen seorang pengguna media sosial. – Agensi

The post Pemuda tulis al-Quran sebagai hadiah buat calon isteri appeared first on Kosmo Digital.