Mestron catat untung sebelum cukai RM8.66 juta

PETALING JAYA  – Keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi pengeluar tiang keluli khas, Mestron Holdings Bhd. (Mestron)   bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 telah meningkat sebanyak 103.3 peratus, disumbangkan oleh jumlah untung kasar yang tinggi dan kos perbelanjaan operasi yang rendah.

 PBT Kumpulan telah bertambah kepada RM8.66 juta bagi tahun kewangan 2020 berbanding RM4.26 juta tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Pengarah Urusannya, Por Teong Eng berkata, Kumpulan mencatat perolehan sebanyak  RM56.64 juta berbanding  RM68.98 juta pada tahun kewangan 2019.

Menurut beliau, nilai perolehan yang berkurangan itu disebabkan oleh  impak perintah kawalan pergerakan (PKP) yang telah melambatkan jadual penghantaran produk dalam pasaran utamanya dan juga pengiktirafan pendapatan seterusnya.

“Pandemik Covid-19 telah memberi kesan kepada keputusan kewangan yang boleh dilihat kepada suku kedua tahun kewangan 2020 kerana pelaksanaan PKP  telah dilonggarkan.

“Oleh itu, perolehan sukuan telah kembali kepada paras praCovid-19 pada suku ketiga dan keempat tahun kewangan 2020, ini kerana jualan margin yang tinggi dicatat bagi segmen tiang dekoratif, tiang khusus dan juga produk pencahayaan di luar rumah,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

The post Mestron catat untung sebelum cukai RM8.66 juta appeared first on Kosmo Digital.