Lelaki samun, pukul, ugut bekas teman wanita kerana cemburu

MELAKA – Seorang lelaki bertindak, menyamun, memukul dan mengugut bekas kekasih untuk menyebarkan gambar mangsa dalam keadaan memalukan gara-gara wanita itu menjalinkan hubungan cinta baru di Jalan Melaka Raya, Banda Hilir, kelmarin.

Suspek berusia 28 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan polis kira-kira pukul 10.30 pagi pada keesokan harinya di Jalan Suria Taman Malim Jaya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.15 petang selepas suspek datang ke tempat kerja mangsa dalam keadaan berang dan mempertikaikan hubungan cinta baru wanita tersebut.

Katanya, suspek kemudian bertindak merampas telefon bimbit mangsa jenama Samsung A11.

“Suspek turut mengikut mangsa masuk ke dalam pejabat dan merampas sebuah lagi telefon bimbit milik mangsa jenama Samsung A1 Core.

“Wanita tersebut yang takut dengan tindakan suspek cuba untuk keluar dari pejabat guaman berkenaan, namun telah ditampar, ditendang dan dicekik suspek,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, suspek juga telah mengeluarkan kata-kata kesat dan mengugut untuk menyebarkan gambar mangsa dalam keadaan mengaibkan di media sosial sekiranya mangsa membuat laporan polis.

“Mangsa yang bimbang dengan keselamatan dirinya terus membuat laporan polis di Balai Polis Banda Hilir pada hari sama.

“Pada pukul 10.30 pagi keesokan harinya, polis berjaya memberkas suspek di dalam sebuah kereta di Jalan Suria Taman Malim Jaya dan merampas dua telefon bimbit milik mangsa,” katanya.

Afzanizar berkata, siasatan awal mendapati suspek bagaimanapun tidak mempunyai rekod lampau dan saringan ujian urin adalah negatif.

“Suspek kini direman selama tiga hari sehingga 27 Februari ini bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun,” katanya. -K! ONLINE

The post Lelaki samun, pukul, ugut bekas teman wanita kerana cemburu appeared first on Kosmo Digital.