Lelaki samun guna pistol mainan ditahan

PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki yang menggunakan pistol mainan untuk menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam di Kundang di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita berusia 35 tahun yang bekerja di kedai serbaneka berkenaan.

Katanya, kejadian berlaku kira-kira pukul 8 malam apabila suspek masuk ke dalam premis itu sebelum mengacu objek disyaki pistol ke arahnya. 

“Suspek kemudian meminta wang daripada wanita itu, namun,  dia memaklumkan tiada wang sebelum mengarahkannya membuka peti wang kaunter.

“Bagaimanapun, mangsa memaklumkan dia tidak boleh membuka peti wang berkenaan dan meminta sekotak rokok sebelum terus beredar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Arifai berkata, lelaki berusia 26 tahun itu ditahan dalam serbuan di Jalan Besar Bandar Rawang di sini kira-kira pukul 11 pagi, semalam.

Ujarnya, pihaknya turut merampas satu pistol mainan berwarna hitam dan satu baju T berwarna biru yang digunakan ketika kejadian.

“Suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 28 Februari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960,” katanya.

Dalam kes berasingan, Arifai berkata, dua lelaki lelaki berusia 18 dan 52 tahun bersama 50 peket heroin dalam serbuan di Kampung Sri Makmur, Sri Gombak di sini semalam.

Katanya, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 3 Mac untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.- UTUSAN ONLINE

The post Lelaki samun guna pistol mainan ditahan appeared first on Utusan Digital.