Kuantan FA, Marcerra United tuntut RM1 juta

Kes tunggakan gaji pemain, pegawai dua pasukan

BEKAS pemain dan pegawai pa­sukan Kuantan FA serta Marcerra­ United menuntut tunggakan gaji keseluruhan bernilai hampir RM1 juta kepada pihak yang bertanggungjawab dengan kontrak yang ditandatangani pada 2018.

Sebagai rekod, kes melibatkan tuntutan gaji pemain dan pegawai kedua-dua pasukan ini sudah berlarutan sejak tiga tahun lalu dengan melalui pelbagai saluran sebelum mereka mengambil inisiatif untuk melantik peguam secara rasmi.

Peguam yang mewakili bekas pemain dan pegawai dua pasukan itu, Mohd. Suhail Rahimi Abdul Razak berkata, pihaknya berusaha untuk menghubungi individu bertanggungjawab kerana mahu menyelesaikan perkara ini dengan baik.

Bagaimanapun, Suhail mengesahkan hanya memberikan tempoh dua minggu kepada pihak terbabit untuk tampil ke hadapan berbincang dengan anak guamannya sebelum membawa kes ini ke mahkamah.

“Kami telah diberi tanggungjawab untuk mewakili seramai 26 pemain dan tujuh pegawai Kuantan FA manakala 21 pemain serta lima pegawai untuk Marcerra United dalam menuntut gaji mereka yang masih belum di­lunaskan sejak tiga tahun lalu.

“Kami mengharapkan pihak yang bertanggungjawab dapat tampil berbincang dengan kami dalam tempoh dua minggu ini sebelum kes dibawa ke peringkat yang lebih tinggi.

“Tuntutan yang dibuat adalah berdasarkan gaji keseluruhan hampir 12 bulan kontrak bagi pemain dan pegawai ini bermula Januari hingga Disember 2018,” katanya pada sidang akhbar di Shah Alam semalam.

Difahamkan, nilai tuntutan keseluruhan lebih RM590,000 telah dibuat untuk pasukan Kuantan FA manakala RM310,000 pula dituntut oleh bekas pemain dan pegawai Marcerra United.

Suhail mengakui individu yang bertanggungjawab di belakang Marcerra United sudah dikenal pasti tetapi pihaknya masih lagi mencari siapa yang memimpin pucuk pimpinan Kuantan FA pada musim 2018.

Sebagai rekod, pengurusan Marcerra telah bergabung de­ngan Kuantan FA untuk beraksi dalam Liga Premier pada 2018 tetapi ‘bungkus awal’ selepas kegagalan membayar gaji pemain selama empat bulan sebelum disingkirkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Malah, nasib Marcerra United dalam kancah Liga FAM pada 2018 pun berakhir di tengah jalan ekoran kemelut kewangan.

The post Kuantan FA, Marcerra United tuntut RM1 juta appeared first on Kosmo Digital.