KP Kesihatan sihat tanpa kesan alahan

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah mendedahkan dirinya tidak mengalami sebarang kesan sampingan selepas sehari disuntik vaksin Covid-19.

Beliau berkata, tiada gejala demam atau pun rasa sakit di tempat suntikan.

“Alhamdulillah, sehari selepas menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19, tiada kesan sampingan yang dialami setakat ini.

“Jumlah larutan vaksin yang digunakan adalah hanya 0.3 milimeter dan jarum yang digunakan adalah jarum yang halus iaitu saiz 25 G,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik melalui Facebook beliau, hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, rakyat Malaysia perlu mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin.

“Segeralah mendaftar di aplikasi MySejahtera untuk menerima vaksin Covid-19 yang akan diberikan mengikut fasa kelayakan yang ditetapkan.

“Vaksin memberi pelindungan diri dan pelindungan imuniti kelompok. Lindung diri, lindung semua,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi pemimpin pertama disuntik vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech menggunakan picagari khas Low Dead Volume (LDV) oleh Ketua Jururawat Kesihatan PKD Putrajaya, Lina ibrahim yang dibantu Jururawat Klinik Kesihatan Presint 9, Mazirah Mokhtar, jam 2.42 petang.

Selain Muhyiddin, dan Dr. Noor Hisham, enam petugas kesihatan juga menerima suntikan vaksin iaitu Pegawai Perubatan, Dr. Tan Yee Ling; Penolong Pegawai Perubatan, Khairul Asraf Mohd Yasin dan pemandu KKM, Clement a/l Marai Francis manakala tiga jururawat iaitu, Lina, Mazirah dan Sheilla Mellisa Sikin.- UTUSAN ONLINE

The post KP Kesihatan sihat tanpa kesan alahan appeared first on Utusan Digital.