Kilang kitar semula plastik didenda RM120,000

SEPANG: Tindakan sebuah kilang menjalankan aktiviti kitar semula plastik terpakai tanpa kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) membawa padah apabila didenda RM120,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini.

Hakim Tengku Shahnizam Tuan Lah menjatuhkan denda tersebut terhadap syarikat itu diwakili pengarahnya selaku orang kena saman (OKS) mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Dalam prosiding tersebut, syarikat yang terletak di Banting selaku OKS pertama dan pengarahnya lelaki berusia 54 tahun adalah OKS kedua masing-masing didakwa empat pertuduhan.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua OKS didakwa menjalankan aktiviti kitar semula plastik terpakai tanpa kelulusan Laporan EIA seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 34A(2), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, syarikat dan pengarahnya didakwa gagal mengemukakan Pemberitahuan Bertulis kepada Ketua Pengarah mengenai punca pengeluaran efluen perindustrian dan pencemaran udara seperti kehendak di bawah Peraturan 4(1)(a), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dan Peraturan 5(1)(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.

Bagi pertuduhan keempat pula, kedua-dua OKS didakwa gagal memasang alat kawalan pencemaran udara mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Ketua Pengarah.

Bagi kesemua pertuduhan, kedua-dua OKS didakwa melakukan perbuatan itu pada 4 Oktober 2018 di kilang tersebut di Banting.

Difahamkan, ketika kejadian, syarikat itu baharu memulakan operasi tiga bulan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, pihaknya akan sentiasa mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi kepada penjenayah alam sekitar. – UTUSAN ONLINE

The post Kilang kitar semula plastik didenda RM120,000 appeared first on Utusan Digital.