Ketua Jurutera Mildef HMAV4x4, produk UTeM

MELAKA: Kejayaan sekumpulan anak tempatan membangunkan kenderaan berperisai mobiliti tinggi, Mildef HMAV4x4 telah memberikan impak langsung kepada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Hal ini kerana Ketua Jurutera yang terlibat dalam menjayakan projek berkenaan, Khairul Hazwan Mohd. Rasit merupakan alumni UTeM, seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Automotif).

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Raha Abdul Rahim berkata, pihaknya teruja dengan pencapaian berprestij itu kerana ia menggambarkan peranan UTeM yang melahirkan graduan unggul dalam bidang teknikal kepada negara.

“Graduan UTeM juga turut menjadi buruan majikan dan industri pelbagai sektor dari seluruh dunia dan perkara ini selari dengan kedudukan universiti yang berada pada kedudukan tiga teratas bagi kadar kebolehpasaran graduan dalam kalangan universiti awam dalam negara.

“Di samping itu, pelaksanaan strategi dan formula khas UTeM turut berkait rapat dengan kejayaan penghasilan graduan unggul, bila mana konteks pengisian daripada kerangka kerjasama strategik dengan rangkaian industri dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Syarikat automotif industri pertahanan tempatan, Mildef International Technologies (Mildef) melakar sejarah apabila melancarkan kereta berperisai mobiliti tinggi setanding kualiti antarabangsa.

Kenderaan ketenteraan itu direka cipta dan dibangunkan sendiri Mildef yang berpangkalan di ibu negara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Mohd. Nizam Kasa, jentera itu turut disasarkan untuk kegunaan domestik serta berpotensi dipasarkan lebih luas di luar negara.

Dalam pada itu, Khairul Hazwan ketika ditemui berkata, proses pengajian di UTeM adalah komprehensif dan beracuan Revolusi Industri 4.0 yang mana ia membentuk kemahiran perindustrian dalam proses mereka bentuk dan pembuatan sesebuah produk. 

“Mengimbas kembali pengajian sepanjang empat tahun dari tahun 2011 hingga 2015, saya dilengkapkan dengan kepakaran teori dan kemahiran berkaitan jentera perindustrian terkini dan bertaraf global. 

“Di samping itu, penuntut juga melalui tempoh masa yang agak panjang, pembelajaran secara amali mesin berteknologi tinggi. Di samping pembelajaran daripada tenaga akademik UTeM yang berpengalaman luas dalam bidang industri multinasional dari seluruh dunia,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

The post Ketua Jurutera Mildef HMAV4x4, produk UTeM appeared first on Utusan Digital.