Ikat pekerja sebelum larikan beg, jam tangan bernilai RM10,000

JOHOR BAHRU – Dua lelaki yang melakukan samun bersenjata bertindak mengikat seorang pekerja kedai sebelum melarikan 10 buah beg berjenama mewah terpakai dan empat utas jam tangan bernilai RM10,000 dalam kejadian di Johor Jaya, dekat sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang, ketika pengadu berada di dalam kedai, dia didatangi oleh dua lelaki dan salah seorang daripada mereka telah mengeluarkan sebilah pisau.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan, Mohd. Sohimi Ishak berkata, kedua-dua suspek tersebut bertindak menolak mangsa sebelum mengikat tangannya.

“Suspek kemudiannya mengambil barang seperti 10 buah beg dan empat utas jam tangan berjenama mewah terpakai sebelum meninggalkan kedai tersebut.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian samun bersenjata itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Sohimi berkata, setelah menerima maklumat berkaitan kejadian itu, polis menjalankan usaha mengesan suspek dan telah menahan tiga lelaki tempatan di sekitar kawasan Skudai, Jalan Tun Abdul Razak dan Taman Johor Jaya, Isnin lalu.

Katanya, hasil semakan mendapati kesemua suspek mempunyai pelbagai jenis rekod lampau dan hasil urin adalah positif.

“Hasil soal siasat ketiga-tiga suspek, Bahagian Sisatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam telah membuat tangkapan susulan melibatkan seorang lelaki tempatan di SPK Damansara, Kuala Lumpur pada pukul 3.29 pagi.

“Melalui tangkapan ini, polis berjaya menemui semula barang kes berkaitan antara lima beg tangan, lima beg silang dan sebuah beg pakaian. Kesemuanya adalah beg berjenama yang sudah terpakai,” jelasnya.

Katanya, suspek yang ditahan di Kuala Lumpur itu tidak mempunyai rekod lampau dan hasil urin adalah negatif.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 395 / 397 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh hingga 20 tahun.-K! ONLINE

The post Ikat pekerja sebelum larikan beg, jam tangan bernilai RM10,000 appeared first on Kosmo Digital.