Harga Bitcoin susut, pelabur tersentak

LONDON/NEW YORK: Selepas rali berpanjangan sebelum ini, harga Bitcoin, saham Tesla Inc. dan dana dagangan bursa (ETF) jatuh kelmarin, dalam sesi dagangan tidak menentu yang menyentak pelabur.

Ia merupakan petanda terbaharu untuk kemungkinan penghentian rali yang mengapungkan pelbagai jenis aset.

Pelabur mungkin semakin berhati-hati dengan penilaian tinggi sementara peningkatan hasil perbendaharaan baru-baru ini boleh mengurangkan daya tarikan kepada saham dan pelaburan berisiko yang lain.

Menurut penganalisis aset kripto dari Messari, Ty Young, aset-aset tersebut berada dalam rali yang berterusan dan terdapat banyak leveraj dalam sistem itu.

“Pembetulan dijangka dilakukan ketika kenaikan harga dan ia tidak mengejutkan jika kita lihat pada kitaran sebe­lumnya,” katanya.

Bitcoin baru-baru ini jatuh 11 peratus pada AS$48,207 (RM194,891.26), mengurangkan sedikit kerugian apabila Square Inc. milik Jack Dorsey mengumumkan ia membeli kira-kira 3,318 bitcoin pada harga AS$170 juta (RM687.28 juta).

Mata wang kripto itu jatuh sehingga AS$44,845 (RM181,299.37) dalam sesi tersebut.

Saham Tesla yang sebelum ini mendedahkan pelaburan AS$1.5 bilion (RM6.06 bilion) dalam mata wang kripto, jatuh sehingga 13.4 peratus dan me­ngurangkan kerugian untuk ditutup pada -2.1 peratus.

ETF ARK Innovation yang mengambil kira Tesla sebagai pegangan terbesarnya, ditutup pada 3.3 peratus lebih rendah.

ETF popular baru-baru ini yang memfokuskan kepada industri seperti blockchain, kanabis dan tenaga boleh diperbaharui juga jatuh dalam seminggu setengah yang lalu, dengan beberapa pelabur mula ragu-ragu.

Saham Tesla mewakili kira-kira 10 peratus pegangan untuk ETF ARK Innovation, yang jatuh kira-kira sembilan peratus minggu ini ketika harga bitcoin yang tidak menentu menolak saham Tesla untuk jatuh hampir 11 pe­ratus dalam tempoh yang sama.

Beberapa pelabur mungkin telah bersedia untuk kejatuhan ETF. – AGENSI

The post Harga Bitcoin susut, pelabur tersentak appeared first on Utusan Digital.