Hanya PDRM ada kuasa keluarkan kompaun ingkar SOP

PETALING JAYA – Kuasa untuk melakukan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) serta pengeluaran kompaun kepada mereka yang ingkar hanya boleh dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sahaja.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, arahan pemakaian atau SOP pelitup muka pula adalah dibawah Akta 342 Kementerian Kesihatan (KKM) dan tindakan pengeluaran kompaun hanya boleh dibuat oleh PDRM.

“Setakat ini tiada sebarang kuasa diberikan kepada mana-mana pihak pengurusan kondominium, pangsapuri atau pejabat untuk mengeluarkan kompaun terhadap kegagalan mematuhi SOP.

“Sekiranya ia termaktub di bawah peraturan ditetapkan (pengurusan) maka mereka boleh ambil tindakan contohnya kejadian vendalisme dan sebagainya namun sekiranya berkaitan SOP, ia bukan di bawah kuasa mereka,” katanya pada sidang akhbar harian Majlis Keselamatan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kejadian seorang kanak-kanak berusia setahun dikompaun RM100 oleh pihak pengurusan sebuah kondominium di Ampang kerana tidak memakai pelitup muka ketika berada dalam lif semalam.

Ismail Sabri menegaskan, tindakan kompaun sekiranya gagal mematuhi SOP hanya boleh dibuat oleh PDRM sahaja dan menyifatkan kejadian tersebut sebagai tidak munasabah.

“Hanya polis sahaja ada kuasa keluarkan kompaun dan tindakan pengurusan kondominium itu adalah salah jadi saya harap mereka tarik balik kompaun tersebut kerana bagi saya tindakan itu adalah tidak munasabah,” tegas beliau. -K! ONLINE

The post Hanya PDRM ada kuasa keluarkan kompaun ingkar SOP appeared first on Kosmo Digital.