Gred pegawai perubatan, pergigian kontrak diselaraskan

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) merakamkan penghargaan kepada kerajaan kerana meluluskan permohonan pelarasan gred bagi Pegawai Perubatan kontrak Gred UD41 ke Gred UD43 dan Pegawai Pergigian kontrak Gred UG41 ke Gred UG44.

Ketua Setiausahanya, Datuk Mohd. Shafiq Abdullah berkata, pelarasan gred itu dibuat berasaskan kesetaraan laluan kerjaya pegawai tetap.

Beliau berkata, pelarasan gred itu melibatkan sejumlah 21,408 Pegawai Perubatan, manakala bagi Pegawai Pergigian pula, akan melibatkan sejumlah 697 pegawai.

“Pelarasan gred ini akan ditawarkan menerusi sistem e-housemen dan e-dentist bermula hari ini.

“Pelarasan gred itu diluluskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 21 Januari lalu manakala, kelulusan peruntukan dan persetujuan lantikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) pula diluluskan semalam,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, notifikasi mengenai tawaran itu akan dikemukakan kepada pegawai yang berkenaan menerusi emel masing-masing.

Mohd. Shafiq berkata, kementerian berharap pegawai dapat meningkatkan lagi motivasi dan komitmen masing-masing untuk melaksanakan tugasan dengan lebih cemerlang termasuklah turut bersama dalam membendung dan menangani pandemik Covid-19.

“KKM juga mengambil kesempatan untuk memaklumkan bahawa JPA pada 4 Februari lalu dan Kementerian Kewangan pada 10 Februari lalu telah meluluskan permohonan untuk menyambung perkhidmatan kontrak seramai 585 Pegawai Perubatan, 1,071 Pegawai Pergigian dan 1,966 Pegawai Farmasi.

“Notifikasi mengenai tawaran ini juga akan dikemukakan kepada pegawai yang berkenaan menerusi emel masing-masing,” katanya. – K! ONLINE

The post Gred pegawai perubatan, pergigian kontrak diselaraskan appeared first on Kosmo Digital.