DUN Melaka esok pun boleh bersidang – Sulaiman

MELAKA: “Esok boleh bersidang (Dewan Undangan Negeri) kalau nak. Terserah pada kita, bila kita nak bersidang.”

Itu respons Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali ketika diminta mengulas titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menitahkan Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada tarikh yang difikirkan sesuai oleh Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Sulaiman berkata, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh dilaksana pada bila-bila masa yang dirasakan perlu, namun perbincangan dengan pihak-pihak berkaitan perlu diadakan terlebih dahulu.

“Parlimen boleh bersidang, dipersilakan bersidang. Sidang DUN buat masa ini saya fikirkan dahulu lah. Saya tengok dulu macam mana, banyak perkara-perkara yang perlu dirunding.

“Sidang DUN kalau kita nak bersidang, kita boleh lakukan persidangan tetapi saya akan berbincang terlebih dahulu dengan pihak-pihak yang berkaitan. Esok boleh bersidang kalau nak, terserah pada kita bila kita nak bersidang,” katanya ketika ditemui pemberita di Seri Negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian-perjanjian Kerajaan Negeri dan Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) dengan beberapa syarikat antaranya AWH Marine Sdn. Bhd. dan HLRB Processing Sdn. Bhd.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, perkara tersebut termaktub dalam sub perenggan 14 (1) (b) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana di kirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Oleh itu, menurut beliau, tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen bersidang adalah tidak tepat.

Dalam pada itu, mengulas mengenai tiga perjanjian yang baharu dimeterai itu, Sulaiman berkata, salah satunya melibatkan tambakan laut seluar 450 ekar di Mukim Umbai di antara kerajaan negeri dengan PKNM.

Jelasnya, ia bagi membolehkan pelaksanaan pembangunan atau projek minyak dan gas di atas kawasan tanah tambakan berkenaan.

“Setelah termeterainya perjanjian ini, PKNM hendaklah memulakan pelaksanaan kajian hidraulik dan Laporan Impak Alam Sekitar (EIA) dalam tempoh dua tahun bermula 21 Februari 2020 sehingga 20 Februari 2022.

“Kerja tambak laut pula dilaksanakan dalam tempoh 12 bulan daripada tarikh perjanjian ini ditandatangani,” ujarnya.

Terdahulu, kerajaan negeri mengumumkan lebih 10,000 peluang pekerjaan dan peluang perniagaan bakal tersedia hasil daripada mewujudkan koridor ekonomi baharu, Melaka Waterfront Economic Zone (M-Wez).-UTUSAN ONLINE

The post DUN Melaka esok pun boleh bersidang – Sulaiman appeared first on Utusan Digital.