Dua lelaki diberkas disyaki terlibat dalam kes samun

PETALING JAYA – Dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian samun bersenjatakan sebatang tukul besi di sebuah kilang di Taman Perindustrian Selayang Baru dekat sini berjaya diberkas polis semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian samun pada Selasa lalu kira-kira pukul 5.38 pagi.

“Dalam kejadian tersebut, seramai empat lelaki yang juga pekerja dan pengawal keselamatan di sebuah gudang tilam berusia 32 hingga 63 tahun menjadi mangsa.

“Suspek terdiri daripada dua lelaki warga tempatan berusia 39 dan 44 tahun yang bersenjatakan sebatang tukul besi telah melarikan dua unit telefon bimbit dan sebuah kereta jenis Hyundai Elantra,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, siasatan mendapati, kedua-dua suspek telah menahan salah seorang mangsa sebaik mangsa keluar dari kereta jenis Hyundai Elantra.

“Kedua-dua suspek kemudian telah mengikat mangsa menggunakan pita pelekat bersama tiga rakan sekerjanya yang lain.

“Suspek juga berjaya memecah masuk kilang berkenaan dan cuba melarikan sebuah peti besi namun gagal,” jelasnya.

Katanya, bertindak atas maklumat sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor telah berjaya menangkap dua suspek di sebuah bengkel motosikal di Kampung Laksamana, Batu Caves semalam.

“Polis juga berjaya menemui kereta Hyundai Elantra milik salah seorang mangsa di tempat letak kereta di sebuah pangsapuri berdekatan lokasi kedua-dua suspek diberkas.

“Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama enam hari sehingga Selasa depan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” ujarnya. -K! ONLINE

The post Dua lelaki diberkas disyaki terlibat dalam kes samun appeared first on Kosmo Digital.