Dua ejen hartanah hina polis ditahan

PETALING JAYA – Perbuatan dua ejen hartanah menghamburkan kata-kata kesat terhadap polis yang menahan kenderaan mereka mengundang padah apabila mereka diberkas di sekitar Damansara, di sini hari ini.

Kedua-dua suspek lelaki dan wanita berumur 28 dan 33 tahun itu ditahan ketika pasukan itu menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 12.20 malam ketika pasukan polis menahan kereta jenis BMW yang dinaiki kedua-dua suspek.

“Penahanan itu dilakukan selepas polis mendapati mereka dalam keadaan mencurigakan dan ketika pemeriksaan dilakukan, mereka juga enggan memberikan kerjasama.

“Dalam masa yang sama suspek wanita telah mengeluarkan kata-kata kesat yang berbaur penghinaan terhadap polis manakala suspek lelaki pula cuba mempertikaikan tugas anggota penguatkuasa,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, kedua-dua suspek yang merupakan ejen hartanah disyaki berada di bawah pengaruh alkohol dan mereka ditahan untuk siasatan lanjut.

Katanya, suspek ditahan reman selama tiga hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana berkelakuan tidak sopan. -K! ONLINE

The post Dua ejen hartanah hina polis ditahan appeared first on Kosmo Digital.