Dakwa diculik gara-gara malas bekerja

PHOENIX, ARIZONA – Seorang lelaki nekad memalsukan kes penculikan sendiri kerana malas datang bekerja, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.

Brandon Soules yang bekerja di sebuah kilang membuat tayar mendakwa diculik dua penjenayah bertopeng sebagai alasan tidak datang bekerja baru-baru ini.

Soules ditemui di Coolidge pada 17 Februari lalu oleh pihak berkuasa dalam keadaan tangan diikat menggunakan tali pinggang manakala mulut disumbat dengan kain.

Lelaki itu memberitahu pihak polis bahawa dia telah dipukul di kepala, disumbat ke dalam sebuah kereta sebelum ditinggalkan berdekatan menara air di bandar itu.

Tambahnya, dia diculik kerana bapanya memiliki sejumlah wang simpanan di beberapa lokasi bandar itu.

Bagaimanapun, pihak polis meragui jalan cerita Soules selepas meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) lalu memanggil lelaki itu untuk proses soal siasat kali kedua.

Soules akhirnya membuat pengakuan bahawa dia sengaja mengada-adakan cerita kerana mahu ponteng kerja ketika hari ‘penculikan’ didakwa berlaku.

“Siasatan terperinci dijalankan detektif kami dan menemui bukti menunjukkan ceritanya adalah rekaan dan tiada penculikan atau serangan berlaku,” tulis kenyataan jabatan polis Coolidge di laman Facebook.

Soules kini ditahan kerana membuat laporan polis palsu dan telah dipecat oleh majikannya. – Agensi

The post Dakwa diculik gara-gara malas bekerja appeared first on Kosmo Digital.