Covid: LLM, PSKLM serah sumbangan

PETALING JAYA: Lembaga Le­buhraya Malaysia (LLM) dan Persatuan Syarikat Konsesi Le­buhraya Malaysia (PSKLM) menyampaikan sumbangan makanan dan minuman kepada 1,500 petugas barisan hadapan yang bertugas di Pusat Kua­rantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Yang Dipertua PSKLM, Datuk Azman Ismail berkata, sumbangan tersebut bukanlah yang pertama untuk persatuan itu kerana mereka turut menyumbang kepada Tabung Covid-19 sebelum ini.

“Malahan, syarikat-syarikat konsesi lebuh raya yang juga merupakan ahli PSKLM secara individu telah menyumbang peralatan perubatan serta pera­latan perlindungan diri (PPE) kepada hospital-hospital terpilih.

“Ini termasuk sumbangan makanan dan minuman kepada petugas barisan hadapan di sekatan jalan raya (SJR) di plaza tol, pihak berkuasa tempatan dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan dekat sini semalam.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengerusi LLM, Datuk Abdul Rasyid Asari bersama Ketua Pengarahnya, Datuk Ir. Mohd. Shuhaimi Hassan dan Azman kepada Pengarah PKRC, Dr. Shahabuddin Ibrahim, kelmarin.

Menurut Mohd. Shuhaimi, pihaknya memahami cabaran dan pengorbanan semua petugas barisan hadapan seperti kakitangan perubatan dan ke­selamatan dalam menghadapi pandemik.

Kata beliau, industri lebuh raya yang diterajui LLM telah memainkan peranannya dalam menguruskan dan menghadapi pandemik tersebut.

Contoh terbaharu, infrastruktur lebuh raya turut memainkan peranan sebagai laluan utama pengangkutan vaksin Covid-19 ke seluruh negara sejak ia tiba di negara ini pada 21 Februari lalu.

“Mungkin ramai yang tidak sedar tentang pentingnya industri infrastruktur lebuh raya dalam membantu negara dan kerajaan menghadapi pandemik Covid-19,” katanya. – UTUSAN

The post Covid: LLM, PSKLM serah sumbangan appeared first on Utusan Digital.