City bukan calon juara Eropah

BUDAPEST: Pep Guardiola percaya, Bayern Munich adalah pilihan utama untuk mempertahankan kejuaraan Eropah biarpun Manchester City terus cemerlang dengan menewaskan Borussia Monchengladbach 2-0 hari ini.

Kemenangan dalam aksi pertama, pusingan 16 akhir Liga Juara-Juara itu membolehkan skuad The Citizens menang 19 perlawanan berturut-turut (semua pertandingan).

Bagaimanapun Guardiola berkata, rekod hebat skuad bimbingannya tidak meletakkan mereka sebagai calon untuk memenangi gelaran Eropah buat kali pertama.

“Secara keseluruhan, kami mengawal permainan tetapi penyudah kami tidak cukup bagus dan kurang klinikal.

“Itu sesuatu yang perlu kami perbaiki dalam kejohanan ini. Jentera serangan kena lebih tajam.

“Bila saya melihat Bayern Munich, saya tidak fikir kami adalah pasukan pilihan. Kami kena menerima hakikat bahawa pencapaian terbaik kami hanya separuh akhir,” kata Guardiola kepada BT Sport.

BERNARDO Silva meledak gol pembukaan Manchester City.

Tandukan Bernardo Silva pada babak pertama dan jaringan Gabriel Jesus di separuh masa kedua memastikan City meraih bekalan terbaik di Puskas Arena.

City yang mendahului Liga Perdana Inggeris, menguasai hampir keseluruhan permainan dalam aksi yang diadakan di Hungary ekoran larangan memasuki Jerman berikutan pandemik Covid-19.

Sementara itu ketua jurulatih Moenchengladbach, Marco Rose akur dengan kekalahan barisan pemainnya.

“Kami tewas kepada lawan yang sangat kuat. Anda tidak mempunyai banyak peluang bertemu lawan seperti mereka.” katanya.

City akan menerima kunjungan Moenchengladbach dalam aksi timbal balik di Stadium Etihad pada 17 Mac depan. – AGENSI

The post City bukan calon juara Eropah appeared first on Utusan Digital.