Burger King cadang labur RM30 juta kembang pasaran

PETALING JAYA: Pemegang francais Burger King Corporation, Cosmo Restaurants Sdn. Bhd. (Burger King), merancang untuk mengembangkan pasarannya sebanyak 20 peratus menjelang akhir tahun ini.

Pengumuman itu dibuat bersempena pelancaran identiti visual Burger King baharu yang bakal kelihatan pada semua titik pertemuan pelanggan. 

Burger King juga akan memperbaharui logo, pembungkusan, pakaian seragam kru dan papan tanda dan hiasan restorannya.

Unjuran penjenamaan semula itu, reka bentuk restoran Burger King yang baharu akan membolehkan urusan prosedur penjarakan fisikal dan pengesanan kontak rapat

dijalankan dengan lebih efisien dengan adanya kemudahan-kemudahan seperti pandu-masuk, sistem pesanan kod QR dan aplikasi web.

Ketua Pegawai Eksekutif Burger King Malaysia, Ng Lee Tieng berkata, rancangan itu adalah penjenamaan semula lengkap yang pertama dalam jangka lebih 20 tahun dan penjenamaan baharu ini diilhamkan daripada makanan sebenar dan lazat. 

“Reka bentuk baharu kami melambangkan penambahbaikan terkini Burger King terhadap rasa dan kualiti makanan serta tindakan kami untuk mengabaikan segala jenis warna, bahan perasa

dan pengawet dari sumber buatan dalam resipi kami yang bersesuaian dengan peredaran zaman,” katanya dalam kenyataan semalam.

Lee Tieng berkata, ketika ini Burger King Malaysia menguruskan lebih 120 restoran dan menyasarkan untuk membuka 25 restoran lagi menjelang akhir tahun ini.

Beliau menambah, dengan adanya penjenamaan baharu ini, Burger King Malaysia bertekad untuk terus maju dan meneruskan rancangan pengembangan agresifnya di tengah-tengah

kemelut ekonomi sedang melanda negara akibat wabak Covid-19 kerana ia dapat membantu ekonomi negara.

Menjelang akhir tahun, pemegang francais Burger King itu mahu membuka restoran ke-147. Kos membuka restoran-restoran baharu dengan identiti visual baharu, dijangka mencecah RM30 juta.

“Walaupun operasi perniagaan kami terkesan akibat Covid-19 yang melanda negara tahun lepas, kami masih melabur sejumlah RM22 juta untuk membuka 18 restoran baharu, lapan dilancarkan pada Disember dan empat mengikut identiti visual baharu,” jelas beliau.

Ditubuhkan pada 1954, jenama Burger King adalah rangkaian makanan segera kedua terbesar di dunia yang mengkhusus kepada panyajian burger. – UTUSAN

 

The post Burger King cadang labur RM30 juta kembang pasaran appeared first on Utusan Digital.