Biasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dibuka 1 Mac

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan penawaran program Biasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) kepada pelajar cemerlang di universiti awam akan dibuka secara dalam talian bermula 1 hingga 31 Mac ini.

Menurut kenyataan akbar KPM, biasiswa tersebut ditawarkan sejak 2012 kecuali tahun 2017, kepada pelajar cemerlang di universiti awam yang sedang mengikuti pengajian pendidikan tahun pertama atau kedua dalam bidang tertentu.

“Pelajar ini kemudiannya akan dilantik menjadi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dan ditempatkan di sekolah menengah KPM.

“Penawaran biasiswa ISMP dibuat berdasarkan perancangan dan unjuran keperluan opsyen guru KPM bagi sekolah menengah dari tahun ke tahun,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, pada tahun ini KPM telah mengunjurkan sebanyak 28 mata pelajaran yang mempunyai keperluan di sekolah menengah KPM dan perlu diisi menjelang tahun 2025.

Mengulas pertanyaan daripada pelbagai pihak berkaitan biasiswa ISMP untuk bidang Bahasa Tamil yang tidak ditawarkan pada tahun ini, KPM menjelaskan, hal ini kerana terdapat lebihan guru dalam mata pelajaran Bahasa Tamil di sekolah menengah.

“Bagaimanapun, unjuran KPM mendapati terdapat keperluan guru Bahasa Tamil di sekolah rendah menjelang tahun 2026.

“Justeru bagi mengisi keperluan ini, KPM menerusi Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) akan melaksanakan pengambilan pelajar bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) bidang pengkhususan Bahasa Tamil bagi kemasukan September 2021,” jelasnya.

Sementara itu, KPM sentiasa memastikan penawaran tempat untuk sebarang program pengajian dibuat supaya bekalan guru memenuhi unjuran bidang keperluan KPM.

“Langkah ini juga bagi mengelak lambakan guru dan ketidakpadanan opsyen mata pelajaran. KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” katanya. -K!ONLINE

The post Biasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dibuka 1 Mac appeared first on Kosmo Digital.