Belum ada syarat wajib vaksin pengambilan pekerja asing pembinaan

KUALA PILAH: Kementerian Kerja Raya belum berhasrat untuk menjadikan suntikan vaksin Covid-19 sebagai syarat wajib pengambilan pekerja asing dalam sektor pembinaan, sekiranya proses pengambilan pekerja asing dibuka semula kelak.

Timbalan Menterinya Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, fokus kerajaan ketika ini adalah untuk memberikan vaksin secara percuma kepada rakyat termasuk warga asing di negara ini.

“Setakat ini, kerajaan tidak menetapkan syarat tetapi menjadi hasrat semua individu di negara ini akan diberikan vaksin secara percuma. Kita tidak boleh terlampau berkeras (rigid) dalam sektor pembinaan ini kerana antara usaha untuk membangunkan ekonomi juga adalah melalui sektor pembinaan kerana ia akan memberikan kesan pengganda yang sangat besar kepada negara.

“Jika dikenakan syarat kena ada vaksin dan sebagainya, terlampau ketat, kita bimbang kemajuan dalam sektor pembinaan akan terjejas akibat daripada syarat yang terlalu ketat itu,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Rumah Baitijannati, Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada penerima, Zulzilah Abdul Radzi, 62, di Kampung Ghalib, Sungai Jelutong, Batu Kikir dekat sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Perkhidmatan Pelanggan Bahagian Peruncitan TNB Negeri Sembilan, Mahamad Farizan Mahamad.

Sementara itu, menurut Eddin Syazlee, kediaman Zulzilah tersebut antara sembilan buah rumah yang telah dibina menerusi projek itu di Negeri Sembilan oleh TNB pada tahun ini.

“TNB juga saya difahamkan sudah mengenal pasti sebuah lagi rumah serupa yang bakal dibina di Parlimen Kuala Pilah iaitu di Kampung Jerejak.

“Kami mengalu-alukan mana-mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mahu membantu khususnya kepada golongan yang tidak berkemampuan ataupun asnaf serta ibu tunggal yang memenuhi kriteria yang ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, Zulzilah berkata, dia amat lega dan gembira apabila hasrat untuk memiliki rumah sendiri tercapai hasil sumbangan daripada pihak TNB dan bantuan Eddin Syazlee.

“Bukan mudah untuk saya memiliki rumah sendiri apatah lagi saya hanya mengambil upah menoreh getah sebelum ini. Saya juga kini sudah tidak lagi mampu bekerja selepas disahkan menghidap kanser dua tahun lalu dan kini mengharapkan bantuan daripada Baitulmal sebanyak RM250 sebulan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

The post Belum ada syarat wajib vaksin pengambilan pekerja asing pembinaan appeared first on Utusan Digital.