Arsenal berdepan misi wajib menang

ATHENS, Greece – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menganggap aksi timbal balik pusingan 32 Liga Europa menentang Benfica di Stadium Karaiskakis awal pagi esok seperti perlawanan final buat skuad bimbingannya.

Arteta, 39, menegaskan, aksi Liga Europa adalah satu-satunya peluang buat The Gunners untuk cuba mencari tempat beraksi di pentas Eropah musim depan berdasarkan situasi mereka menghuni tangga ke-11 Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika ini.

Bagaimanapun, ia bukan tugas mudah buat Arsenal yang mensia-siakan deretan peluang dan terpaksa akur sekadar seri 1-1 dengan Benfica sewaktu aksi pertama di Rom, Itali pada 19 Februari lalu.

“Kami mahu terus bersaing dalam kejohanan ini. Saya anggap pertemuan dengan Benfica seolah-olah aksi final kerana kami tidak boleh kalah dalam perlawanan ini,” kata Arteta.

Bagaimanapun, pengendali dari Sepanyol itu enggan menjadikan faktor beraksi di gelanggang berkecuali di Athens awal pagi esok sebagai alasan gagal meraih kemenangan ke atas ja­guh Portugal tersebut.

Justeru, Arteta menggesa para pemainnya terutama jentera serangan untuk memanfaatkan setiap peluang terhidang agar tidak mengulangi kesilapan dilakukan ketika tewas 0-1 kepada Manchester City pada aksi EPL baru-baru ini.

“Saya akui pemain-pemain sudah mula merasai kepenatan kerana terpaksa bermain ­banyak perlawanan dalam tempoh singkat. Namun, saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana saya tidak memiliki kumpulan pemain yang besar.

“Semua pemain perlu bertahan dan berkorban buat pasukan. Saya berharap kami dapat membawa pulang keputusan positif daripada aksi di Greece ini,” jelasnya. – AGENSI

The post Arsenal berdepan misi wajib menang appeared first on Kosmo Digital.