Arnab perap, tular dan media sosial
SITI KAMILAH MUSTAPHA, PENOLONG PENGARANG BERITA KOSMO!

Kecoh minggu lalu mengenai tular di Facebook seorang peniaga daging arnab perap sejuk beku yang mendakwa ‘dipau’ oleh anggota polis ketika sekatan jalan raya di sebuah daerah di Selangor.

Peniaga itu mendakwa anggota polis berkenaan pada mulanya mahu membeli dua paket daging itu tetapi membayar pada harga satu paket.

Setelah kecoh di media sosial mengenai isu itu, satu laporan polis dibuat anggota polis berkenaan menyatakan peniaga itu sendiri yang menjual dua paket itu pada harga satu paket.

Peniaga itu turut membuat permohonan maaf di Facebooknya dengan menyatakan itu semua salah faham dan tidak sangka hantaran itu menjadi tular dan dikecam ramai pihak.

Walaupun permohonan maaf telah dibuat, namun kesannya sangat besar apabila gambar polis itu sudah tersebar di media sosial dengan dikongsi oleh beribu-ribu orang.

Agak pelik alasan yang diberikan oleh peniaga itu bahawa dia tidak sangka perkongsian yang berlaku kepada dirinya itu menjadi tular sehingga dikongsi oleh pelbagai portal dan Facebook yang menghidangkan berita sensasi.

Dia tidak tahukah bahawa di Malaysia terdapat terlalu banyak ‘portal untung atas angin’ yang menghidangkan berita sensasi dan tular untuk mendapat keuntungan iklan Google.

‘Portal untung atas angin’ itu tidak perlukan wartawan bekerja berpanas berhujan menyajikan berita sebaliknya hanya ‘copy paste’ berita di media arus perdana.

Hantaran tular dan sensasi menjadi berita ‘cari makan’ portal berkenaan dengan jumlahnya yang ada dengan pelbagai nama sememangnya menantikan perkongsian seumpama itu.

Jadinya tidak mungkin peniaga itu tidak sangka perkongsian di Facebook peribadi secara terbukanya cepat dikongsi ribuan penggunan Facebook lain.

Zaman sekarang jika inginkan privasi, baik jangan kongsi apa-apa sekalipun di media sosial, cukup sekadar berkongsi dengan isteri atau suami dalam bilik sahaja.

Jika berkongsi melalui aplikasi WhatsApp sekalipun mengenai gosip atau berita sensasi akan ada tangan gatal tangkap layar perbualan anda itu dan dikongsi oleh ribuan pihak yang tidak dikenali.

Zaman media sosial sangat senang hendak menjadi terkenal, penulis teringat seorang gadis yang juga peniaga kek pernah tular apabila perkongsiannya di Twitter mengenai seorang polis yang cuba menguratnya.

Konon pada awalnya marah-marah anggota polis yang mengambil nombor telefonnya untuk berkenalan tetapi akhirnya gadis itu berkongsi pula keknya laris macam pisang goreng panas.

Rupa-rupanya tular itu hanya taktik pemasaran di media sosial saja tetapi ada pihak yang mungkin berdepan tindakan dengan perkongsian tersebut.

The post Arnab perap, tular dan media sosial appeared first on Kosmo Digital.