Anak Senator didakwa terima deposit pelaburan 

MELAKA: Peguam yang juga anak kepada Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Koh Nai Kwong antara empat yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima deposit pelaburan perniagaan bernilai RM130,000 pada tiga tahun lalu.

Tertuduh, Koh Qi Min, 28, dan tiga yang lain Lee Chian Wee, 36; Lim Boon Seong, 36, dan Lim Kok Jeh, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama telah menerima deposit pelaburan perniagaan bernilai RM130,000 daripada Yong Woon Hui, 41; Cheah Kheng Hui, 47; Teo Diap Pu, 46; Ng Peng Hup, 47; Tay Kay Yong, 42, dan Steven Seow, 42. 

Tertuduh didakwa menerima deposit tersebut tanpa suatu lesen yang sah yang diberikan di bawah Seksyen 10, Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di RHB Bank Cawangan Malim di No. 3 dan 4, Jalan MP 3, Batu Barendam dekat sini pada sekitar 2018 hingga 2019. 

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 137 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. 

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shukri Hussain yang mencadangkan jaminan sebanyak RM25,000 dikenakan bagi setiap tertuduh. 

Tertuduh, Qi Min diwakili peguam, K.P. Ranganathan manakala tiga yang lain diwakili peguam, Micheal Tan dan Datuk J. Armadas.

Mahkamah kemudian membenarkan keempat-empat tertuduh dijamin sebanyak RM10,000 setiap seorang dan menetapkan tarikh 25 Mac depan sebagai sebutan semula kes.  -UTUSAN ONLINE

The post Anak Senator didakwa terima deposit pelaburan  appeared first on Utusan Digital.