Yadim sedia bantu pulih golongan LGBT

PUTRAJAYA: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) bersedia menjadi agensi yang berperanan menyelamatkan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Yang Dipertuanya, Nasrudin Hassan berkata, inisiatif itu termasuk ‘meluruskan’ pemikiran masyarakat agar tidak terpengaruh dengan agenda normalisasi aktiviti mungkar tersebut.

“Yadim tidak sekadar sokong hasrat murni kerajaan, tetapi bersedia bantu usaha dakwah ke arah membebaskan mereka yang terjebak dalam kancah LGBT,” katanya melalui kenyataan.

Kerajaan baru-baru ini dilaporkan mahu meminda undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dan penubuhan Task Force bagi menangani LGBT negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, pembentukan Task Force pula bagi mendidik dan membimbing kelompok berkenaan.

Pendekatan itu diharapnya bakal memberi kesan kepada mereka berbanding sekarang yang hukuman dikenakan hanya penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan sebatan enam kali.

Mengulas lanjut, Nasrudin menyatakan, dua langkah itu boleh dianggap usaha dakwah besar negara agar masyarakat menjalani kehidupan patuh syariah serta cegah kegiatan songsang.

“Sebelum ini, Yadim pun pernah mengadakan wacana bersama Gabungan Badan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) bagi mencari solusi terbaik menangani isu LGBT tempatan,” jelasnya.

Malah ujar beliau, pihaknya turut menerima maklum balas daripada ramai intelek pelbagai agama termasuk Kristian, Buddha dan Hindu untuk berganding pandangan dalam permasalahan itu.

Beliau menambah, penularan budaya menyongsang fitrah dalam negara ketika ini semakin membarah dan wayar ditangani dengan serius namun masih lagi penuh kaedah hikmah.

Justeru, pemerkasaan undang-undang syariah dan mewujudkan Task Force itu juga adalah langkah tepat kerajaan dan sangat wajar disokong serta didukung seluruh rakyat Malaysia.

Inisiatif terbaharu itu diharap mampu membina masyarakat soleh dan bermoral sekali gus membentuk negara sejahtera penuh peradaban yang bebas daripada keruntuhan akhlak.

“Fenomena LGBT jika tidak dikawal akan mencemar budaya, meruntuh institusi kekeluargaan dan merosakkan nilai keperibadian insan khasnya bagi umat Islam sendiri,” kata Nasruddin. – UTUSAN

The post Yadim sedia bantu pulih golongan LGBT appeared first on Utusan Digital.