Vaksin Sovereign 02 tunggu kelulusan

HAVANA – Cuba pada minggu ini sudah memasuki fasa ujian percubaan baharu untuk vaksin koronavirus ­Sovereign 02, kata pihak berkuasa.

Sebelum ini, kerajaan mengu­mumkan hasrat untuk mengimunkan keseluruhan populasi penduduk dengan vaksin buatan tempatan.

“Jika semua berjalan lancar, kami akan menjalankan vaksinasi ke atas semua penduduk pada tahun ini,” kata Pengarah Institut Vaksin Finlay (IFV), ­Vicente Verez.

Institut milik kerajaan itu mempunyai keupayaan untuk menghasilkan 100 juta dos vaksin Sovereign 02 dalam tempoh 11 bulan akan datang, dengan syarat ia melepasi fasa percubaan.

Sovereign 02 ialah salah satu daripada empat calon vaksin termaju yang sedang dibangunkan oleh Cuba, sebuah negara komunis yang dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat.

Tiga lagi calon vaksin ialah Sovereign 01, Abdala dan Mambisa.

Cuba yang mempunyai seramai 11.2 juta penduduk adalah salah satu negara paling kurang terjejas akibat pandemik Co­vid-19, mencatat sekitar 19,000 kes jangkitan dan 180 kematian.

Sovereign 02 kini berada dalam Fasa 2B dengan kira-kira 900 sukarelawan. Jika berjaya, vaksin itu memasuki Fasa 3 membabitkan seramai 150,000 sukarelawan pada Mac ini, fasa terakhir sebelum pendaftaran vaksin.

Pemerintah Cuba berharap dapat melancarkan kempen vaksinisasi menjelang suku pertama tahun ini dan menjadi negara Amerika Latin pertama menghasilkan vaksin Covid-19 sendiri.

Cuba mempunyai kepakaran dalam bidang itu.

Menurut Jose Moya dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Cuba menghasilkan hampir 80 peratus vaksin sendiri.

Awal bulan ini, IFV menandatangani perjanjian dengan Institut Pasteur di Iran untuk ujian suntikan Sovereign 02 di negara berkenaan. – AFP

The post Vaksin Sovereign 02 tunggu kelulusan appeared first on Kosmo Digital.