Ribuan penunjuk perasaan tuntut Navalny dibebaskan

MOSCOW: Polis Rusia menahan seramai 2,500 penunjuk perasaan yang berkumpul di  kawasan bandar dan luar Penjara Matrosskaya Tishina yang menempatkan Ketua Pembangkang, Alexei Navalny, di sini, semalam.

Ribuan penunjuk perasaan di luar kawasan penjara itu melaungkan slogan kebebasan dan meminta pihak berkuasa membebaskan pengkritik Presiden, Vladimir Putin, selepas hampir 20,000 orang berkumpul di ibu negara Rusia bagi demonstrasi antikerajaan.

Navalny ditahan di lapangan terbang Moscow selepas tiba dari Jerman, selepas pulih daripada keracunan yang hampir membawa maut akibat agen saraf.

Washington dan Brussels mengutuk penangkapan dan taktik lain yang digunakan terhadap penunjuk perasaan.

Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell berkata, blok itu akan membincangkan langkah seterusnya pada hari esok.

Protes yang berlaku semalam dengan skala geografi yang belum pernah terjadi sebelumnya, merebak di 100 bandar di seluruh negara.

Demonstrasi melibatkan kumpulan pembangkang berskala besar sebelum ini berlaku pada 2012 dan 2019 dengan sebahagian besarnya berpusat di Moscow.

Himpunan turut dilihat sebagai ujian kemampuan pembangkang mengumpulkan sokongan daripada rakyat menjelang pemilihan Parlimen akhir tahun ini, meskipun tekanan Kremlin meningkat kepada para pengkritik.

Di Moscow, penunjuk perasaan berkumpul di Dataran Pushkin dan membaling bola salji kepada pasukan polis yang lengkap bersenjata.

Akibat tindakan itu, pihak polis memukul mereka menggunakan kayu cotar dan ramai ditangkap.

Ratusan penunjuk perasaan berarak menuju Kremlin dan berkumpul di kawasan tangga di Moscow, sambil menyalakan lampu telefon bimbit serta membaling bola salji ke arah van polis sebelum bersurai. -AFP

The post Ribuan penunjuk perasaan tuntut Navalny dibebaskan appeared first on Utusan Digital.