Pengayuh basikal patah kaki jatuh cerun bukit

BALIK PULAU: Anggota bomba mengambil masa kira-kira 15 minit menyelamatkan seorang pengayuh basikal yang terjatuh ke cerun bukit dari ketinggian enam meter berhampiran Lengkok Kelicap, Bayan Lepas di sini pagi ini.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, Rohaizal Abd. Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 10.06 pagi dan tiba ke situ kurang 10 minit kemudian.

Katanya, sebaik sahaja tiba, pihaknya mendapati mangsa ditemukan di laluan motosikal selepas terjatuh dari trek basikal atas bukit berkenaan.

“Lelaki berusia 30-an itu ditemukan dalam keadaan patah kaki kanan dan calar di beberapa bahagian badan.

“Tindakan anggota adalah membawa mangsa dengan ‘stretcher’ (usungan) dan diserahkan kepada pihak hospital yang turut berada di lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dengan ambulan untuk rawatan lanjut dan operasi menyelamat tamat pada pukul 11.01 pagi. – UTUSAN ONLINE

The post Pengayuh basikal patah kaki jatuh cerun bukit appeared first on Utusan Digital.