Pelacur musim PKP tak laku

PETALING JAYA: Rumah urut dan hotel seluruh negara yang sebelum ini meriah dengan kehadiran lelaki ‘hidung belang’ mencari pemuas nafsu pelacur wanita warga asing atau tempatan kini semakin suram.

Hal ini terjadi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu oleh kerajaan tahun lalu yang mengehadkan pergerakan rakyat di negara ini.

Jumlah pelacur warga asing juga semakin berkurangan kerana tidak lepas masuk ke negara ini sejak kawalan pintu sempadan negara diperketat bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dan boleh dikatakan, pelacur tempatan dan warga asing di negara ini ‘tak laku’ kerana permintaan yang tidak serancak dahulu.

Perkara ini diperkukuhkan dengan penurunan hampir 50 peratus statistik serbuan serta tangkapan pelacur warga asing yang dijalankan Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman pada tahun lalu berbanding 2019.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, pihaknya menyerbu sebanyak 6,853 premis pelacuran dengan 17,916 tangkapan dibuat di seluruh negara pada tahun 2019.

Ujarnya, jumlah tersebut menurun ketara pada tahun lalu dengan hanya 3,258 serbuan serta 10,750 tangkapan.

“Begitu juga dengan tangkapan pelacur warga asing dan tempatan kerana tahun lalu statistik menunjukkan hanya 6,142 warga asing dan 988 wanita tempatan ditahan berbanding 12,082 warga asing dan 1,106 wanita tempatan ditahan tahun sebelumnya.

“Pelacur warga Thailand yang ditahan juga turun mendadak daripada 4,060 orang pada tahun 2019 kepada 1,590 sahaja tahun lalu. Ini jelas merupakan kesan penutupan sempadan negara sejak penularan wabak tahun lalu,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurut Azmi, walaupun kegiatan pelacuran semakin berkurangan, pihaknya tetap melaksanakan risikan operasi dan hasilnya, sebanyak 12 sindiket pelacuran ditumpaskan tahun lalu dengan 18 ahli sindiket ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Beliau berkata, walaupun dalam tempoh PKP, sindiket pelacuran di negara ini sudah tentu tidak duduk diam dan akan giat mencari taktik baharu untuk menarik pelanggan supaya aktiviti haram itu dapat diteruskan.

“Memang sindiket tidak membuka premis pelacuran sebab tiada pelanggan dan juga penguatkuasaan ketat ketika tempoh PKP dan PKP Bersyarat sebelum ini, tapi kita kesan mereka beralih kepada penggunaan aplikasi WeChat dan MiChat untuk menawarkan khidmat pelacur.

“Kita akan terus meningkatkan pemantauan berterusan terutamanya taktik-taktik baharu digunakan sindiket bagi mengekang aktiviti pelacuran di negara ini,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE

The post Pelacur musim PKP tak laku appeared first on Utusan Digital.