PdPR: Kerajaan rancang bantu pelajar

SEREMBAN: Kerajaan bercadang memberi bantuan kepada pelajar dan murid daripada golongan keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) bagi melancarkan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang sedang dilaksanakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, bagaimanapun cadangan itu akan diteliti secara berperingkat termasuk memperincikan jenis bantuan kerana ia tentun meliputi penglibatan beberapa kementerian dan agensi.

“Saya berkeyakinan penuh kepada Kementerian Pendidikan selain saya juga telah mendengar banyak pandangan daripada pelbagai pihak dan yakin apabila berkolaborasi bersama semua agensi kita akan melihat sudut yang lebih luas lagi.

“Kita akan cuba sebaiknya mengikut kesesuaian kerana ia turut membabitkan masalah daripada segi capaian internet, kemampuan tempat tersebut dan sebagainya,” katanya selepas mengadakan lawatan ke projek dewan makan Masjid Kariah Taman Bandar Senawang, dekat sini semalam.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani

Sementara itu, tambah Zulkifli, pihaknyamembelanjakan lebih RM300,000 untuk memberi bantuan ekoran bencana banjir bermula bulan November tahun lalu.

“Bantuan itu melibatkan 10 negeri termasuk Pahang, Terengganu dan Kelantan yang masih berlangsung sehingga hari ini melalui kerjasama pelbagai agensi.

“Penglibatan dan kerjasama daripada sektor swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir juga amat menggalakkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

The post PdPR: Kerajaan rancang bantu pelajar appeared first on Utusan Digital.