Mayat reput ditemukan di pesisir laut

TELUK INTAN: Mayat seorang nelayan warga Myanmar ditemukan dalam keadaan hampir reput di pesisir laut di Bagan Sungai Tiang dekat Rungkup, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Kamarudin Mat Salleh berkata, pihaknya dimaklumkan penemuan mayat lelaki itu oleh orang awam pada pukul 11.21 pagi.

Katanya, mayat tersebut dihantar ke Unit Forensik Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat.

“Siasatan mendapati mangsa adalah lelaki warganegara Myanmar berumur 25 tahun dan bekerja sebagai nelayan.

“Mangsa dipercayai telah terjatuh dari bot ketika dalam perjalanan pulang menangkap ikan pada Khamis lalu,” katanya di sini semalam.

Menurut beliau, pemeriksaan fizikal pada tubuh badan si mati mendapati tiada sebarang kecederaan fizikal dan unsur jenayah.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian adalah ‘decomposed’ dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. – UTUSAN ONLINE

The post Mayat reput ditemukan di pesisir laut appeared first on Utusan Digital.