KPT minta pandangan umum tentang kemasukan ke IPT Mac depan

PETALING JAYA – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) meminta pandangan orang ramai mengenai kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi (IPT) pada Mac nanti sewaktu negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, pihaknya telah mengadakan beberapa libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan sebelum ini berhubung pengoperasian IPT bermula awal Mac depan.

Katanya, sebelum ini, terdapat lima kategori pelajar IPT yang dibenarkan kembali ke kampus secara berperingkat bagi meneruskan pembelajaran masing-masing.

“Di sini saya ingin mendapatkan pandangan anda semua berkenaan dengan kemasukan pelajar ke IPT pada semester akan datang pada bulan Mac nanti dalam keadaan dan situasi semasa sekarang.

“Sekiranya anda sudi berkongsi hasrat dan suara hati anda berkenaan perkara ini boleh nyatakan diruangan komen,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook hari ini.

Lima kategori pelajar IPT tersebut ialah pelajar pasca-siswazah mod penyelidikan di universiti awam (UA) dan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) yang sedang menjalankan pengajian serta pelajar semester atau tahun akhir bagi pengajian di peringkat sijil, diploma dan ijazah sarjana muda.

Turut tergolong dalam kategori itu termasuklah pelajar semester atau tahun akhir yang tidak mempunyai akses internet dan pelajar berkeperluan khas (OKU) yang mengikuti program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Politeknik dan Kolej Komuniti.

Kategori terakhir ialah pelajar kemasukan baharu bagi sesi akademik 2020/2021 di semua UA, IPTS, politeknik dan Kolej Komuniti.

“Insha-Allah saya di pihak KPT akan cuba untuk mengambil perhatian akan segala maklum balas daripada anda semua agar keputusan yang terbaik dapat diambil untuk anda semua,” katanya. – K! ONLINE

The post KPT minta pandangan umum tentang kemasukan ke IPT Mac depan appeared first on Kosmo Digital.