Klopp mahu hapus badi Piala FA

LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp nampaknya tidak mahu kecewa lagi menje­lang pusingan keempat Piala FA menentang Manchester United di Old Trafford awal pagi esok.

Pengendali dari Jerman itu sedia untuk menurunkan kese­belasan utama terkuat pada perlawanan tersebut selepas tewas 0-1 kepada Burnley dalam sai­ngan Liga Perdana Inggeris (EPL) kelmarin.

Pada masa sama, The Reds pastinya mahu menebus kekecewaan apabila kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan minggu lalu, sekali gus menyaksikan Li­verpool terlepas kedudukan dua teratas.

“Kami tidak ada tujuan lain melainkan untuk mencatat kemenangan pada perlawanan tersebut. Semua pemain sentiasa dahagakan kemenangan serta kejuaraan.

“Saya akan pastikan kami menjadi pasukan terbaik pada perlawanan itu nanti. Bagi mendapat keputusan positif, saya akan turunkan kesebelasan terbaik,” kata bekas jurulatih Borussia Dortmund itu.

Klopp pastinya terdesak untuk memenangi Piala FA musim ini memandangkan beliau tidak pernah melepasi pusingan kelima sejak membimbing Liverpool enam tahun lalu.

Sebagai rekod, kali terakhir Liverpool dan United bertemu dalam saingan Piala FA adalah pada 2012 yang menyaksikan The Reds mara ke pusingan kelima menerusi kemenangan 2-1.

Kali terakhir Liverpool menjulang Piala FA adalah pada musim 2005/2006 ketika menewaskan West Ham United dalam penentuan sepakan penalti selepas terikat 3-3. – AGENSI

The post Klopp mahu hapus badi Piala FA appeared first on Kosmo Digital.