Johor terima RM36.3 juta baiki jalan

JOHOR BAHRU: Kementerian Kerja Raya meluluskan peruntukan sebanyak RM36.3 juta bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan Jalan Persekutuan di seluruh negeri ini termasuk di Lebuhraya Pasir Gudang-Johor Bahru yang banyak mengalami kerosakan dan jalan berlubang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd. Solihan Badri berkata, daripada peruntukan tersebut, Johor Bahru menerima sebanyak RM12.1 juta dan sebahagian besarnya digunakan bagi kerja membaik pulih Lebuhraya Pasir Gudang-Johor Bahru melibatkan kos RM10.6 juta.

Katanya, peruntukan yang diterima itu diluluskan segera berbanding yang sepatutnya kerana kerajaan negeri memohon supaya masalah jalan di lebuh raya terbabit dapat diatasi secepat mungkin demi keselamatan pengguna. 

“Jalan ini terlalu sibuk dan banyak dilalui oleh kenderaan berat hingga memerlukan penyelenggaraan dan penambahbaikan dari semasa ke semasa. Malah, hasil kajian forensik ada kelemahan dari segi struktur dan pihak kementerian mengambil perhatian serius terhadap prestasi kontraktor sebelum ini.

“Maka, saya menasihatkan pelbagai pihak termasuk Jabatan Kerja Raya supaya memantau kerja-kerja penambahbaikan yang dibuat kontraktor dan pihak konsesi juga perlu memastikan wang kerajaan dibelanjakan sebaiknya,” katanya selepas meninjau keadaan jalan di Lebuhraya Pasir Gudang-Johor Bahru, di sini hari ini.

Solihan berkata, pihaknya akan mengambil butiran kontraktor yang menyiapkan kerja-kerja itu sebelum ini sebelum menyenaraihitam kontraktor yang tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh kementerian

Sementara itu, ujarnya, peruntukan penyelenggaraan Jalan Persekutuan di daerah lain adalah sebanyak RM2.74 juta bagi daerah Muar diikuti Segamat (RM2.65j), Pontian (RM2.6j), Kota Tinggi dan Tangkak (RM2.45j), Kluang (RM2.05j), Batu Pahat (RM2j), Kulai (RM900,000) dan Mersing (RM800,000).  

Mohd. Solihan berkata, kerja pembaikan terutamanya proses penampalan lubang di Lebuhraya Pasir Gudang akan bermula pada 15 Februari ini dan akan mengambil masa selama dua bulan bagi menyiapkannya hingga terpaksa menutup satu lorong sepanjang kerja-kerja dijalankan.

Katanya, ia melibatkan laluan sepanjang 11 kilometer antara persimpangan Plentong ke Seri Alam (Seksyen 16-23), persimpangan Taman Perindustrian Tebrau ke Taman Daya (Seksyen 10-12) dan kawasan Tol Perling hingga susur Skudai (Seksyen 0-2).

“Ini adalah fasa pertama dan kita berharap kementerian akan terus menyalurkan peruntukan kerana sumbangan kerajaan negeri kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tinggi. 

“Tambahan pula, laluan Lebuhraya Pasir Gudang-Johor Bahru ini adalah penting kerana menghubungkan kepada pelabuhan yang bukan sahaja memberi manfaat kepada Johor malah Malaysia,” katanya. – UTUSAN

The post Johor terima RM36.3 juta baiki jalan appeared first on Utusan Digital.