Bomoh didakwa lakukan jenayah seksual terhadap pesakit

KOTA BHARU – Seorang bomoh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan perhubungan seksual dengan jari terhadap pesakitnya di Melor di sini minggu lalu.

Tertuduh, Wan Ismail Wan Md. Zain, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan perhubungan seksual terhadap seorang wanita berusia 28 tahun dengan menggunakan jari tanpa kerelaannya.

Kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh di dalam bilik sebuah rumah di Melor di sini kira-kira pukul 8.50 malam pada 12 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sekurang-kurangnya lima tahun dan maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Faizuan Sulaiman manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Roshayati Hassan.

Terdahulu, Mohd. Faizuan tidak mencadangkan sebarang jaminan dikenakan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, Roshayati memohon agar mahkamah memberi jaminan terhadap anak guamnya dengan alasan dia mempunyai seramai tujuh orang anak dengan empat daripadanya masih berada dibawah tanggungan.

“Tertuduh juga mengalami kecacatan kekal iaitu sakit tulang belakang dan pernah menjalani pembedahan memasukkan besi,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat agar tertuduh tidak menganggu mangsa dan saksi-saksi pendakwaan selain perlu melaporkan diri di balai polis pada setiap bulan. – K! ONLINE

The post Bomoh didakwa lakukan jenayah seksual terhadap pesakit appeared first on Kosmo Digital.