ADUN Seberang Takir buka makmal komputer atasi masalah PdPR

KUALA TERENGGANU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman mengambil inisiatif membuka makmal komputer bagi membolehkan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang lebih berkesan.

Ahmad Razif berkata, makmal yang baharu disiapkan di Pejabat DUN Seberang Takir di Kuala Nerus itu dilengkapi 30 komputer dengan kemudahan Internet berkelajuan tinggi buat kalangan pelajar yang memerlukannya.

Katanya, perkhidmatan itu dibuka untuk kegunaan golongan sasar selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan di negeri ini berakhir pada 4 Februari ini.

“Semua golongan murid dan pelajar termasuk penuntut universiti boleh menggunakan makmal komputer itu untuk tujuan PdPR.

“Jika ada keperluan kita akan melanjutkan waktu operasi makmal untuk kemudahan dan keselesaan para pelajar,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan barangan keperluan dan makanan kepada 140 petugas barisan hadapan kesihatan di lobi utama Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Razif berkata, setakat ini rata-rata pelajar di DUN Seberang Takir tidak berdepan masalah ketiadaan gajet yang serius untuk mengikuti PdPR di samping rangkaian kualiti liputan internet yang baik.

Sementara itu, beliau berpendapat kerajaan negeri perlu mengambil inisiatif memberikan komputer riba kepada mana-mana keluarga kurang berkemampuan yang layak mendapat manfaat tersebut.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini pernah memperkenalkan inisiatif komputer riba, e-Book.

“Jadi kerajaan negeri dengan kerjasama syarikat milik kerajaan (GLC) mungkin boleh meneruskan langkah sama, kalau bukan semua keluarga mungkin sebahagiannya,” katanya.

E-Book yang dilaksanakan pada 2009 dilengkapi perisian buku-buku teks sekolah rendah serta perisian tambahan termasuk al-Quran, doa dan amalan solat yang lengkap dengan perisian khusus untuk mereka pelajar. – UTUSAN ONLINE

The post ADUN Seberang Takir buka makmal komputer atasi masalah PdPR appeared first on Utusan Digital.