Aaron-Wooi Yik gagal rangkul kejuaraan

KUALA LUMPUR: Pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik gagal merangkul kejuaraan badminton Terbuka Thailand selepas tewas kepada pilihan keenam dari Taiwan, sebentar tadi.

Dalam aksi di Impact Arena, Bangkok itu, pasangan muda negara itu tewas 13-21, 18-21 kepada Lee Yang-Wang Chi Lin.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia gagal merangkul sebarang kejuaraan dalam dua aksi di Thailand sepanjang dua minggu berada di sana selepas pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio, Goh V Shem-Tan Wee Kiong tewas minggu lalu kepada pasangan Taiwan itu.

Saingan beregu wanita menyaksikan pilihan keempat dari Korea Selatan, Kim so Yeong-Kong Hee Yong muncul juara selepas menewaskan rakan senegara yang juga pilihan ketiga, Lee So Hee-Shin Seung Chan 21-18, 21-19.

Beberapa pemain negara akan terus berada di negara Gajah Putih itu bagi meneruskan cabaran dalam aksi Final Siri Jelajah Dunia yang akan berlangsung di lokasi sama, minggu ini. – UTUSAN ONLINE

The post Aaron-Wooi Yik gagal rangkul kejuaraan appeared first on Utusan Digital.