Tiga suspek larikan jenazah bapa dituduh Isnin depan

LAHAD DATU – Tiga daripada empat beradik yang direman atas kesalahan melarikan jenazah bapa mereka dari Hospital Lahad Datu akan dituduh di Mahkamah Majistret Isnin depan.

Bagaimanapun, semua suspek berusia 26 hingga 31 tahun berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis bermula hari ini sejurus selesai siasatan dijalankan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, kertas siasatan kes sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

“Pihak pendakwa bersetuju untuk menuduh ketiga-tiga suspek mengikut Seksyen 22(a) Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

“Namun semua suspek sudah dibebaskan dengan diberikan jaminan polis bermula pukul 8 pagi tadi sementara menunggu proses pendakwaan.

“Hanya tiga suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Lahad Datu pada 25 Januari depan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Rohan memaklumkan salah seorang individu yang ditahan sebelum ini pula dibebaskan tanpa sebarang tindakan lanjut.

Terdahulu, empat beradik ditahan polis selepas bertindak melarikan jenazah bapa mereka dalam kejadian di Hospital Lahad Datu Dalam kejadian Rabu lalu. -K! ONLINE

The post Tiga suspek larikan jenazah bapa dituduh Isnin depan appeared first on Kosmo Digital.