Perubahan format tidak beri kelebihan

KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe bersedia menerima perubahan format yang bakal diputuskan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengenai penganjuran baki saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Difahamkan, AFC sudah mendapat lampu hijau daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk menganjurkan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dengan format karnival.

Namun, dengan syarat semua perlawanan perlu dilangsungkan sebelum Jun depan tetapi keputusan hanya akan diputuskan selepas mesyuarat jawatankuasa pertandingan AFC yang berlangsung pada minggu depan.

Mengikut format asal, skuad Harimau Malaya yang kini menduduki tangga kedua Kumpulan G bakal bertemu Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di Abu Dhabi dan menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Mac depan sebelum aksi terakhir bertemu Thailand di Bangkok pada Jun.

Kata Cheng Hoe, bermain dalam format karnival atau format asal tidak memberi sebarang perbezaan buat pasukannya tetapi pasukan yang diberi peluang untuk menjadi tuan rumah mungkin bakal memiliki kelebihan.

“Kita tunggu keputusan daripada AFC dan apa sahaja format yang akan dibuat, pasukan perlu bersedia secara mental dan fizikal.

“Secara jujur, saya terima apa sahaja keputusan kerana ia tidak memberi banyak perbezaan ke­rana kita tetap akan mengha­rungi tiga perlawanan getir dan pemain semua harus bersedia.

“Cuma, mungkin jika ada dalam kalangan negara di peringkat kumpulan (UAE, Thailand, Viet­nam, Indonesia) yang menjadi tuan rumah, mereka akan dapat sedikit kelebihan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sebelum ini, skuad Harimau Malaya telah diberikan kelulusan untuk menjalankan kem latihan pusat dalam masa terdekat oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) walaupun seluruh ne­geri kecuali Sarawak menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 4 Februari depan.

The post Perubahan format tidak beri kelebihan appeared first on Kosmo Digital.