Permai tidak bantu pengusaha bas ekspres

PUTRAJAYA: Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi Dan Rakyat Malaysia (Permai) didakwa tidak banyak membantu dalam usaha pemulihan industri bas ekspres dan pelancongan tempatan.

Presiden Pertubuhan Pengusaha Bas Ekspres Malaysia (PBEM), Mohd. Nazri Md. Yusof berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 kali ini turut memburukkan lagi situasi.

Justeru, mereka memohon kerajaan mengambil satu tindakan segera dalam menyelesaikan permasalahan sektor tersebut agar terus kekal berkhidmat untuk rakyat seperti kebiasaan.

“PBEM tidak menafikan bahawa sektor bas ekspres dan pelancongan amat terkesan akibat pandemik Covid-19 sejak awal Mac 2020 sehingga kini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bagaimanapun ujar beliau, pengumuman Permai pada 18 Januari lalu oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu didapati tidak menolong memulihkan balik industri bas tersebut yang nazak.

Banyak syarikat bas terpaksa menghentikan operasi akibat sekatan ketat dalam pelaksanaan PKP menyebabkan kadar penumpang dalam sesuatu perjalanan berkurangan begitu teruk.

Keadaan itu kata Mohd. Nazri, mengakibatkan mereka terpaksa menampung kerugian kos operasi selain menghentikan perkhidmatan dengan merehatkan ramai pemandu, staf dan mekanik.

“Pihak PBEM berpendapat beberapa inisiatif yang diumumkan dalam pakej ini perlu dibaik pulih serta diselaras mengikut saranan yang dikemukakan pihak kami sebelum ini,” katanya.

Antaranya, bantuan ‘one-off’ melalui Permai tidak meliputi pemandu yang sepatutnya dikaji kerana mereka juga amat terjejas selain tiada isu pembayaran ansuran syarikat pinjaman.

Kerajaan juga katanya, harus menyediakan dana kepada pengusaha untuk mengaktifkan semula perniagaan dan tidak dikenakan rekod kredit yang boleh jejas kelayakan pinjaman.

Pada masa sama, Mohd. Nazri mahu Skim Rehabilitasi Sewa Beli dalam pakej Permai diteliti kerana tidak memihak kepada pengusaha bahkan tidak diambil kira pandangan PBEM pun.

“Kami turut saran kerajaan beri pengecualian khas kepada pengusaha dalam rekod fail cukai pendapatan untuk Lembaga Hasil Dalam Negeri sepanjang tempoh pandemik ini,” tegasnya.

Selain itu ujarnya, pemberian subsidi diesel kepada syarikat bas harus dipertimbangkan ketika pandemik bagi pengusaha dapat menampung kos operasi dan lonjakan harga minyak.

Beliau turut menyeru kementerian-kementerian yang terlibat dalam isu industri bas segera mengadakan sesi dialog agar mencapai penyelesaian ‘menang-menang’ untuk semua pihak.

Suara PBEM mewakili pengusaha dan pemandu kata Mohd. Nazri, harus didengar bagi jamin industri itu kekal dipertahan dalam keadaan getir pandemik demi perkasa ekonomi negara. -UTUSAN ONLINE

The post Permai tidak bantu pengusaha bas ekspres appeared first on Utusan Digital.