Kertas peringatan, ‘pocong’ ditemui di tepi Sungai Segamat

SEGAMAT – Penduduk Kampung Lubok Batu di sini mempunyai cara menakutkan untuk memberi amaran kepada pencemar Sungai Segamat apabila meletakkan nota bersama objek hantu pocong di situ.

Ia tertera ‘Sungai Segamat dah bersih selepas bah. Jangan buang sampah lagi dalam sungai, pocong datang rumah nanti’ ditulis di atas kertas kotak.

Di samping kertas amaran itu terdapat bungkusan putih bersaiz kecil seolah-olah pocong diletakkan di tepi Sungai Segamat.

Objek itu ditemui seorang kaki pancing, Mohd. Sabaruddin Abd Majid, 52, yang melalui kawasan belukar di tebing sungai itu kira-kira jam 10.30 pagi ini.

Katanya, pada awalnya dia terkejut ketika menemui objek sepanjang kira-kira satu meter itu yang menyerupai bentuk jenazah dibalut kain kafan.

“Tetapi selepas didekati, terdapat sekeping kertas kotak di sisi objek itu yang tertera tulisan supaya tidak membuang sampah di Sungai Segamat.

“Mungkin ini cara yang digunakan pihak tertentu untuk memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak lagi melakukan tabiat buruk membuang sampah ke dalam Sungai Segamat atau mungkin perbuatan budak-budak nakal,” katanya ketika ditemui di sini.

Katanya, dia kemudian memberanikan diri membuka bungkusan itu dan mendapati ia hanya diisi dengan kertas kotak.

Mohd. Sabaruddin berkata, dia yakin pihak yang meletakkan objek itu berniat baik supaya tidak ada yang membuang sampah di sungai itu dengan menggunakan cara berunsur seram.-K! ONLINE

The post Kertas peringatan, ‘pocong’ ditemui di tepi Sungai Segamat appeared first on Kosmo Digital.