Jepun batal anjur Olimpik Tokyo

TOKYO – Kerajaan Jepun dilaporkan akan membuat keputusan untuk membatalkan temasya Sukan Olimpik 2020 yang sepatutnya dilangsungkan di Tok­yo pada 23 Julai hingga 8 Ogos depan kerana peningkatan kes pandemik Covid-19 ketika ini.

Barisan kabinet kanan kerajaan Negara Matahari Terbit itu difahamkan sudah bersetuju dengan keputusan itu selepas percaya mereka tidak boleh lagi mengambil keputusan untuk menangguhkan ke tarikh baharu selepas berbuat demikian pada tahun lalu.

Susulan itu, Jepun kini bersedia untuk sekali lagi membida dalam usaha menjadi tuan rumah temasya sukan terbesar dunia itu pada edisi 2032 nanti.

Menurut sumber dalaman kerajaan Jepun, tiada pegawai kerajaan yang berani untuk mengeluarkan kenyataan rasmi kerana perlu mendapat persetujuan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) terlebih dahulu.

“Sekarang adalah detik yang sukar buat seluruh dunia dan mengenai status Sukan Olimpik 2020, tiada siapa yang berani untuk memberi komen lanjut. Namun, saya fikir ia tidak akan diadakan,” kata sumber itu.

Jika pembatalan Sukan ­Olimpik 2020 menjadi realiti, ia akan menjadi temasya Olimpik pertama yang dibatalkan bukan kerana peperangan seperti yang berlaku pada edisi 1916, 1940 dan 1944.

Difahamkan, Tokyo yang sudah mengeluarkan dana lebih £18 bilion (RM99.6 bilion) sebagai persiapan temasya Sukan Olimpik berharap venue yang mereka bina tidak akan menjadi gajah putih dan berusaha membida satu lagi penganjuran pada edisi 2032.

IOC sebelum ini telah mengesahkan tuan rumah bagi edisi 2024 yang akan berlangsung di Paris, Perancis, manakala Sukan Olimpik 2028 pula dianjurkan di Los Angeles, Amerika Syarikat.
– AGENSI

The post Jepun batal anjur Olimpik Tokyo appeared first on Kosmo Digital.