Hospital, PKRC di Kelantan mampu bertahan 2 bulan lagi

KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan negeri menjangkakan kemudahan yang disediakan di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) untuk rawatan pesakit pandemik itu di negeri ini hanya mampu bertahan selama dua bulan sahaja.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zaini Husin berkata, jangkaan itu berdasarkan lebih 100 kes baharu setiap hari yang dilaporkan di negeri ini.

Katanya, berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan Malaysia, kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) atau R-naught (R0) Covid-19 di Kelantan adalah 1.26 dan ia melebihi bacaaan Rt kebangsaan iaitu 1.14.

“Setakat ini, lapan buah hospital serta empat PKRC iaitu tiga di Kota Bharu termasuk Dewan Jubli Perak, Kolej Kejururawatan Kota Bharu dan Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) dan satu di Gua Musang telah disediakan untuk menempatkan pesakit Vovid-19.

“Sebagai persediaan awal, kita sedang mencari beberapa dewan yang boleh dijadikan PKRC untuk menempatkan pesakit yang menghidap gejala pada tahap rendah. Selain itu, ada juga pesakit yang dibenarkan dikuarantin di rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Tautan Kasih PKRC Kelantan Musaadah Covid-19 di PKRC Putik, Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka, Ahmad Fathan Mahmood dan Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Kelantan, Mahadi Awang.

Terdahulu, Ahmad Fathan menyampaikan sumbangan berup barangan keperluan termasuk makanan kepada pesakit yang mendapatkan rawatan di PKRC Putik, Pengkalan Chepa.

Mengulas lanjut, Zaini berkata, setakat ini, kakitangan Jabatan Kesihatan negeri yang bertugas bagi menguruskan kes Covid-19 masih mencukupi.

Katanya, sekiranya keadaan memerlukan, kakitangan yang dihantar bertugas di luar Kelantan akan dipanggil kembali ke negeri ini.

Tambahnya, JKNK juga akan memastikan petugas tidak menghadapi tekanan kerana terlalu penat sewaktu bertugas malah mereka juga akan diberi kaunseling setiap masa. -UTUSAN ONLINE

The post Hospital, PKRC di Kelantan mampu bertahan 2 bulan lagi appeared first on Utusan Digital.