Bekalan darah di Terengganu bertahan tujuh hari lagi?

KUALA TERENGGANU: Biarpun dikatakan stabil, bekalan darah di Terengganu mencukupi untuk kegunaan dalam tempoh tujuh hari lagi.

Bagaimanapun Pakar Perubatan Transfusi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr. Mohd. Muhaimin Kambali bimbang bekalan itu berkurangan berikutan trend pendermaan darah yang menurun sejak seminggu lalu.

Katanya, hanya 150 beg darah diperoleh minggu lalu berbanding penggunaan sebanyak 350 beg darah seminggu.

“Jika keadaan ini berterusan kita khuatir bekalan darah di Terengganu akan berkurangan, jadi saya menyeru kepada mereka yang sihat dan berkelayakan untuk tampil menderma darah.

“Dalam situasi pandemik Covid-19 ini mungkin masyarakat mempunyai stigma untuk ke hospital, oleh itu kita membuat inisiatif mengadakan pusat pendermaan darah di luar kawasan HSNZ,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Menderma Darah Mega Amal di dewan Program Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran di sini hari ini.

Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman.

Mohd. Muhaimin berkata, aktiviti pendermaan darah di negeri ini dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat termasuk mengehadkan bilangan penderma dalam satu-satu mangsa.

The post Bekalan darah di Terengganu bertahan tujuh hari lagi? appeared first on Utusan Digital.