8 guru SK Sultan Sulaiman I dijangkiti Covid-19

KUALA TERENGGANU – Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman I di sini diarahkan tutup selama 14 hari sehingga 5 Februari depan berikutan penularan Covid-19 dalam kalangan guru.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, lapan guru sekolah itu telah disahkan positif Covid-19.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan penutupan sekolah tersebut mengikut Seksyen 18 (1) (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi
kawalan perebakan penyakit berjangkit.

“Sekolah itu diarahkan ditutup selama 14 hari berkuat kuasa semalam sehingga 5 Februari depan bagi mengelakkan penyakit berjangkit merebak.

“Pihak sekolah juga diperintahkan untuk melakukan kerja-kerja pembasmian kuman di premis berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Penutupan SK Sultan Sulaiman I berikutan penularan Covid-19 tersebut telah menyebabkan pengagihan buku teks kepada murid yang dijadual hari ini terpaksa ditangguhkan.

Difahamkan pengurusan sekolah telah menghubungi ibubapa murid terlibat telah dimaklumkan tentang situasi semasa terbabit.

Sebelum ini, semua murid tidak hadir ke sekolah dan sekadar menjalani sesi pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) sejak sesi persekolahan dibuka pada Rabu lalu. – K! ONLINE

The post 8 guru SK Sultan Sulaiman I dijangkiti Covid-19 appeared first on Kosmo Digital.