Wajar teruskan amalan isytihar cuti umum Thaipusam

ALOR SETAR: Kerajaan negeri wajar meneruskan amalan mengisytiharkan cuti umum Thaipusam sebagai sebahagian daripada tradisi perayaan selain bentuk penghormatan kesalingan budaya antara kaum.

Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip berkata, beliau tidak melihat akan berlaku kerugian terhadap mana-mana termasuk kerajaan negeri sekiranya pengiytiharan cuti peristiwa itu dikekalkan seperti tahun-tahun sebelum ini.

Menurutnya, semua pihak sedar bahawa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini menyebabkan sambutan Thaipusam berbentuk himpunan dan perarakan tidak dibenarkan seperti sebelumnya.

“Namun pelaksanaan cuti itu membolehkan kalangan mereka yang meraikannya menyambut perayaan tersebut bersama keluarga masing-masing di rumah.

“Lagi pula, pengisyitiharan cuti itu boleh dilihat sebagai memberi hak kepada penganut agama Hindu untuk melaksanakan upacara keagamaan masing-masing seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Rabu lalu, Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor mengumumkan kerajaan negeri memutuskan  untuk tidak mengisytiharkan Thaipusam sebagai cuti umum.

Tindakan tersebut mengundang reaksi pelbagai pihak termasuk Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan yang mendakwa keputusan itu sebagai berat sebelah selain menunjukkan keangkuhan kerajaan negeri.

Nor Azrina yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) menambah, pengisytiharan cuti peristiwa untuk sambutan Thaipusam telah bermula sejak tahun 2014 lagi.

“Walaupun berlaku pertukaran kepimpinan dan kerajaan dalam tempoh tersebut, pengisytiharan cuti tersebut tetap diteruskan.

“Justeru adalah wajar untuk cuti itu terus diberikan. Perlu diingat, berlainan akidah tidak harus dilihat sebagai pemisah dalam masyarakat majmuk serta rakyat keseluruhan dan untuk itu, kerajaan negeri perlu berhikmah dalam mengambil tindakan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

The post Wajar teruskan amalan isytihar cuti umum Thaipusam appeared first on Utusan Digital.