Villa protes peraturan ofsaid

MANCHESTER – Pemain pertahanan Aston Villa, Tyrone Mings menyuarakan rasa tidak puas hati selepas pasukan itu tewas 0-2 kepada Manchester City pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad awal pagi semalam.

Pada perlawanan tersebut, Bernardo Silva menjaringkan gol pembukaan buat pasukan tuan rumah, sebelum Ilkay Gundogan melengkapkan kemenangan 2-0 menerusi sepakan pe­nalti.

Bagaimanapun, Mings menyelar gol pertama yang dija­ringkan City apabila mendakwa Rodri berada dalam kedudukan ofsaid sebelum dia melakukan hantaran kepada Silva.

Keadaan itu turut mencetuskan situasi panas apabila pengurus Villa, Dean Smith melakukan protes terhadap gol tersebut sebelum beliau diarah meninggalkan bangku simpanan.

“Saya tidak pernah lihat peraturan seperti ini. Jika saya tahu dia (Rodri) tidak ofsaid, sudah tentu saya akan keluarkan bola itu lebih awal daripada kawasan bahaya. Peraturan ini mengarut,” luah Mings.

Sementara itu, Smith berkata, beliau tidak faham mengenai peraturan yang digunakan pada perlawanan tersebut, namun enggan menyalahkan City berhubung keputusan yang dibuat.

“Saya sebenarnya tidak faham dengan peraturan hari ini (semalam). Apabila seseorang berada dalam kedudukan ofsaid dan dia cuba merebut bola, bermakna dia sudah melakukan kesalahan, namun pengadil membuat keputusan sebalik­nya dan jaringan tersebut disahkan,” kata Smith. – AGENSI

The post Villa protes peraturan ofsaid appeared first on Kosmo Digital.