Vaksinasi satu juta penduduk sehari

JAKARTA – Presiden Joko Widodo (Jokowi) yakin Indonesia mampu menjalankan program vaksinasi Covid-19 seramai satu juta orang sehari menerusi kemudahan kesihatan di seluruh negara.

Jokowi menyatakan Indonesia mempunyai seramai 30,000 petugas pemvaksin yang berpengalaman menjalankan suntikan pelalian pada setiap tahun, lapor portal berita CNN Indonesia semalam.

“Jika dikira-kira 30,000 pemvaksin dan setiap seorang petugas boleh memberi suntikan vaksin kepada 30 individu dalam sehari. Jumlah ini adalah besar.

“Ini bermaksud dalam sehari, jumlahnya (penerima vaksin) hampir satu juta,” kata beliau semasa berucap di Kompleks Istana Presiden di Jakarta.

Jokowi turut menyatakan Indonesia mempunyai sebanyak 3,000 buah hospital dan kira-kira 10,000 pusat kesihatan masyarakat (Puskesmas).

Beliau menyifatkan kemudahan kesihatan Puskesmas memberi Indonesia kelebihan hingga mampu menjalankan pemvaksinan untuk semua lapisan masyarakat.

“Negara lain tidak mempunyai (kemudahan ini), mereka tidak mempunyai Puskesmas seperti kita ada. Menjalankan program pemberian vaksin dan imunisasi untuk anak-anak kita setiap tahun,” jelas beliau.

Bekas Gabenor Jakarta itu menyatakan kerajaan mahu melengkapkan program vaksinasi dalam tempoh setahun.

“Bagaimana boleh memper­cepatkannya, bagaimana ia boleh dilakukan sebanyak mungkin disebabkan kita ada kelebihan itu,” katanya.

Kerajaan Indonesia memulakan program vaksinasi Covid-19 sejak Rabu minggu lalu dan menyasarkan untuk memberi vaksin kepada seramai 181.5 juta penduduk.

Bagi merealisasikan impian itu, kerajaan bercadang mengimport 426 juta dos vaksin daripada beberapa firma farmaseutikal antarabangsa termasuk Sinovac, AstraZaneca, Pfizer, Novavax dan Gavi. – Agensi

The post Vaksinasi satu juta penduduk sehari appeared first on Kosmo Digital.