Tiga pelan atasi kesesakan kontena Pelabuhan Utara

KLANG – Lembaga Pelabuhan Klang mengambil pendekatan menerusi tiga fasa pelan tindakan dalam mengurangkan kesesakan di Pelabuhan Utara di sini.

Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kelang, Datuk Chong Sin Woon berkata, pelabuhan itu mengalami kesesakan di lapangan kontena berikutan peningkatan aktiviti punggah keluar kontena dari kapal lebih banyak daripada punggah masuk ke dalam kapal.

Katanya, masalah itu semakin meruncing apabila kedatangan kontena dari lori pengangkut ke pelabuhan berlaku dalam masa yang sama.

Selain itu, menurutnya, jumlah penerimaan dan penghantaran kontena yang tinggi bermula pukul 12 tengah hari hingga 10 malam sejak 1 Januari hingga kelmarin.

“Jumlah yang dikendalikan di pintu masuk dalam tempoh ini adalah lebih dua kali ganda seterusnya menyumbang kepada peningkatan dan kesesakan di semua pintu masuk Pelabuhan Utara.

“Kesesakan yang berlaku di lapangan kontena dan pintu masuk telah menjejaskan kadar produktiviti pelabuhan serta prestasi pengendalian operasi kontena pelabuhan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, antara pelan tindakan itu termasuk bagi membuka laluan tambahan di pintu masuk terutama pada waktu puncak mulai Isnin depan.

Ujarnya, laluan khas untuk lori dan treler kontena kosong turut diwujudkan bagi mempercepatkan proses pengendalian di pintu masuk.

“Kita juga akan melaksanakan pelan tindakan jangka sederhana dan panjang termasuk tambahan kapasiti tenaga kerja serta meningkatkan keupayaan sistem teknologi maklumat Northport termasuk Terminal Operating System (TOS)

“Berdasarkan fasa pelan itu, kita yakin kesesakan di lapangan kontena dapat dikurangkan sebanyak 20 peratus dalam tempoh dua minggu dari sekarang,” jelasnya. -K!ONLINE

The post Tiga pelan atasi kesesakan kontena Pelabuhan Utara appeared first on Kosmo Digital.